PONTIAN - Walaupun sudah bersara tujuh tahun lalu, Samsudin Seri, 63 atau lebih dikenali Cikgu Sudin, tetap setia berbakti mengajar anak kampung.

Cikgu Sudin bekas guru Sains menggunakan pendekatan pengajaran yang cukup unik apabila formula Sains dan Matematik digubah menjadi lagu hanya dengan menggunakan sebuah gitar.

Halaman rumahnya di Kampung Parit Betak, Benut dijadikan lokasi kelas tambahan kepada pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Berazam mahu membantu pelajar kampung memahami Sains dan Matematik yang sering dianggap susah, Cikgu Sudin mengorak langkah mencari pembaharuan ketika mengajar di Sekolah Menengah Parit Betak sekitar 80-an.

Jelasnya, sewaktu menjadi guru di sekolah, dia melihat pelajar suka menyanyi di dalam kelas dan dari situ timbul idea untuk membuat lagu daripada formula Sains juga Matematik.

“Lagu pertama yang digubah ialah Hujan nyanyian Sudirman yang liriknya menjadi formula kitaran nitrogen.

“Hanya menggunakan gitar berharga RM60, saya nyanyikan lagu yang digubah itu di dalam kelas, ternyata pelajar begitu seronok mendengarnya,” katanya yang pernah menerima Anugerah Guru Cemerlang peringkat negeri.

Dia kemudian menggubah lebih banyak lagu dengan formula Sains dan Matematik, malah turut melibatkan subjek lain iaitu Biologi dan Matematik Tambahan.

Menurutnya, pelajar dapat memahami Sains dan Matematik dalam keadaan yang gembira melalui lagu yang digubah.

“Alhamdulillah, lagu tersebut memperlihatkan kesan yang positif apabila pelajar mencapai keputusan cemerlang dalam peperiksaan,” katanya kepada Sinar Harian.

Dia berharap teknik pengajaran yang digunakannya itu dapat dijadikan idea kepada guru baharu agar kreatif ketika mengajar.

Baginya, seorang pendidik perlu kreatif kerana pelajar bergantung kepada guru untuk memahami mata pelajaran yang diajar di sekolah.

“Fahami minat pelajar agar perhatian mereka dapat ditumpukan sepenuhnya di dalam kelas,” katanya.

Katanya lagi, selagi kudrat masih terdaya beliau akan terus berbakti mengajar kira-kira 100 pelajar yang mengikuti kelas tambahan diadakannya pada Jumaat dan Sabtu.

Malah katanya, ada dalam kalangan ibu bapa pelajar di sini yang tidak mahu dia berhenti daripada mengajar kelas tambahan yang hanya mengenakan bayaran sebanyak RM5.