Monday, March 23, 2015

Kemahkotaan Sultan Johor

Pada hari ini, Isnin 23 hb Mac 2015, telah berlangsung Pemahkotaan DYMM Sultan Ibrahim ibni al marhum Sultan Iskandar sebagai Sultan bagi negeri Johor Darul Takzim.

Sejarah Bermulanya Kesultanan Johor

Pada tahun 1528 Sultan Alauddin Riayat Shah dari keturunan kesultanan Melaka telah membuka Johor dan bertapak di Johor Lama. Dinasti ini memerintah Johor sehingga tahun 1699 iaitu tarikh kemangkatan Sultan Mahmood yang dikatakan dibunuh oleh Megat Seri Rama (Laksamana Bintan). Sultan Mahmood tidak mempunyai waris yang sah dan oleh itu pengurusan dan pentadbiran Johor berpindah kepada Dinasti Bendahara iaitu menteri-menteri yang membantu Dinasti Kesultanan Melaka. Oleh sebab perperangan dan bagi
mengekalkan kuasa perdagangan, ibu negeri Johor berpindah sebanyak 20 kali di sepanjang Sungai Johor termasuk pada akhirnya di Kepulauan Riau.
Dalam tahun 1769 Sultan Mahmood lll diangkat sebagai Sultan Johor Riau. Baginda melantik Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor. Inggeris mengiktiraf Temenggong Abdul Rahman Ibni Temenggong Abdul Hamid sebagai Temenggong Johor Singapura. Perlantikan ini merupakan titik permulaan Dinasti Temenggong memerintah Johor. Inggeris seterusnya melantik Sultan Husain anakanda Sultan Mahmood sebagai Sultan Johor Singapura pada tahun 1819. Anakanda Temenggong Abdul Rahman iaitu Temenggong Daeng Ibrahim dilantik Temenggong Johor selepas kemangkatan ayahanda nya pada 1825. Perlantikan Baginda disahkan 14 tahun selepas kemangkatan ayahanda Baginda disebabkan keengganan Inggeris dan keraguan Sultan Husain. Pada 10 Mac 1855 Sultan Johor iaitu Sultan Ali Iskandar Shah telah menyerahkan keseluruhan kerajaan dan negeri Johor melainkan jajahan Kesang kepada Temenggong Ibrahim melalui satu perjanjian. Kemangkatan Sultan Ali pada 20 Jun 1877 menandakan tamat pemerintahan Dinasti bendahara. Setelah mempunyai ketuanan Johor, Temenggong Daeng Ibrahim membuka Bandar Iskandar Puteri di Tanjong Puteri pada tahun 1855. Bermula dari tarikh itu zahirlah pentadbiran kesultanan Johor moden diasaskan oleh Temenggong Daeng Ibrahim dan diperkasa dan diperkukuhkan oleh Sultan Abu Bakar.




Sunday, March 1, 2015

Orbit Dakwah Di Perjalanan

Assalamualaikum ikhwah dan akhawat sekalian,
Misi gerakan Islam adalah membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
a.    Ia berputar sepanjang zaman mengajak manusia menerapkan syariat dalam kehidupan sebagai individu, masyarakat dan warga negara.
b.    Ia terus meluru laju untuk memikul misi membimbing umat manusia seluruhnya menuju sistem Islam beserta ajaran-ajarannya.
Dalam perspektif seperti ini, dakwah sebenarnya merupakan suatu tugas peradaban. Oleh kerana itu, sejak dari mula, para pemikul dakwah mesti menyedari panjangnya jalan yang mesti ditempuh dan banyaknya tenaga yang mesti dikerahkan.
Mereka bahkan mesti bersedia untuk mengorbankan jiwa, harta dan segala apa yang dimilikinya berupa waktu, tenaga, kesihatan, ilmu dan lain-lainnya semata-mata untuk mencari keridhaan Allah swt.

TAHAPAN DAN URUTAN AMAL
Untuk merealisasikan tujuan yang mulia itu, sebuah gerakan dakwah mesti melakukan tahapan-tahapan amal, kerana salah satu ciri dakwah adalah 'At-tadarruj fi al-khutuwaat'  (bertahap dalam langkah dan perancangan).
Tahapan-tahapan amal yang mesti dilakukan adalah seperti berikut :
a.    Tahapan seruan (di'ayah), pengenalan (ta'rif) dan penyebaran fikrah (nasyr al-fikrah) kepada masyarakat.
b.    Tahapan pembinaan (takwin) dan pemilihan pendukung (takhyir al-anshar), penyediaan pasukan / perajurit  (I'dad al-junud) dan mobilisasi barisan (ta'biah ash-shufuf) dari kalangan mad'u.
c.    Tahapan aplikasi (tanfidz), kerja (amal) dan pengeluaran hasil (intaj).

Sedangkan 'maratibul amal' (urutan amal) nya adalah :
1.    Perbaikan individu (Ishlah al-fard)
2.    Perbaikan rumah tangga (Ishlahul al-bait)
3.    Perbaikan masyarakat (Ishlah al-mujtama')
4.    Pembebasan negeri (Tahrir al-wathan)
5.    Perbaikan pemerintahan (Ishlah al-hukumah)
6.    Penyiapan pembinaan khilafah (Bina' al-khilafah)
7.    Pelopor dunia (Ustadziah al-alam)

Tiga tingkatan pertama merupakan kewajiban individu-individu muslim secara umum, juga menjadi kewajiban gerakan dakwah sedangkan empat tingkatan yang terakhir merupakan tugas yang mesti dipikul oleh gerakan dakwah sebagai sebuah 'tanzim' dakwah yang aktif.

PERLAKSANAAN
Perlaksanaan tahapan dan urutan amal dakwah tersebut boleh diwujudkan dalam orbit kerja seperti berikut :

1. Mihwar Tanzimi (Orbit Organisasi)

Orbit Organisasi memberi penumpuan kepada pembentukan dan pencetakan aktivis sebagai asas operasi dakwah
Gerakan dakwah perlu membangunkan dirinya menjadi sebuah organisasi yang kuat dan teguh sebagai kekuatan utama yang mengoperasikan dakwah. Organisasi ini mesti diisi oleh orang-orang yang kuat dan teguh dalam seluruh aspek keperibadian.
Untuk itu diperlukan proses pembinaan dan pembentukan yang sistematik, lengkap dan memakan waktu yang secara relatifnya panjang. Mereka yang dipilih untuk dibentuk dan dibina mestilah orang-orang yang terbaik yang ada di dalam masyarakat.

2. Mihwar Sya'bi (Orbit Sosial)
Seterusnya gerakan dakwah mesti berusaha untuk :
a.    Membangunkan asas sosial yang luas dan merata serta membentuk wajihah-wajihah sebagai kekuatan pendukung dakwah.
b.    Menciptakan struktur budaya dan adab-adab sosial yang Islamik.
c.    Memastikan penguasaan peribadi dan tokoh Islam dalam masyarakat.
d.    Menjayakan sebaran kebudayaan yang luas di mana Islam menjadi faktor pembentuk pendapat dan pandangan umum.
e.    Mempertingkatkan usaha-usaha dakwah umum kepada masyarakat.
f.    Mewarnakan Islam dalam penampilan-penampilan budaya seperti pakaian, produk kesenian, etika sosial, istilah-istilah umum dalam pergaulan dan seterusnya.
Bagi tujuan tersebut, sebagai langkah awal, gerakan dakwah mesti bekerja keras membina  komitmen dan kekuatan aqidah pada sebahagian besar kalangan kaum muslimin iaitu komitmen aqidah yang menandakan persediaan ideologi masyarakat Muslim untuk hidup dengan sistem Islam pada seluruh tatacara kehidupannya beserta kekuatan aqidah untuk menampilkannya dalam lingkungan kehidupan secara yang mempesonakan.
Selain itu pada tahapan ini, secara idealnya, gerakan dakwah mesti mampu mewujudkan ketinggian pemikiran Islam di tengah-tengah masyarakat sehingga muncul kepercayaan umum bahwa secara konsepnya, Islamlah yang paling mampu menyelamatkan bangsa dan negara dan dengan itu, Islam menjadi arus yang membentuk arah pemikiran nasional.

2. Mihwar Muassasi (Orbit Institusi)
Gerakan dakwah mesti membangun berbagai institusi untuk menjadi wadah kepada segala kerja-kerja dakwah di seluruh sektor kehidupan dan di seluruh segmen masyarakat.
Ia seharusnya mampu mempertemukan dakwah dengan kegiatan dan institusi politik serta penerobosan dakwah ke parlimen.
Wilayah kerja dakwah pada orbit ini sangat luas dan rumit dan oleh yang demikian diperlukan pembentukan institusi-institusi pekerjaan seperti institusi sosial, ekonomi, politik dan sebagainya.
Pada tahapan ini juga perlu dilakukan usaha mengisi institusi-institusi samada dalam masyarakat ataupun pemerintahan yang sudah ada. Dengan usaha tersebut, maka akan terbentuklah jaringan aktivis dakwah di seluruh institusi yang strategik. Ini merupakan usaha-usaha penting yang diperlukan untuk mengurus dan mentadbir kehidupan bernegara yang Islamik.

4. Mihwar Daulah (Orbit Negara)
Dakwah mesti sampai pada tingkatan institusi negara di mana dengan institusi inilah gerakan dakwah dapat merealisasikan secara undang-undang dan kuat seluruh kehendak Allah swt ke atas kehidupan masyarakat.
Negara adalah wasilah dan bukan tujuan.
"Kebenaran mesti mempunyai negara kerana kebatilan pun mempunyai negara", demikian kata-kata Ibnul Qayyim Al Jauziyah.
Orbit daulah perlu memainkan peranan baru untuk menyediakan :
a.    Pemimpin-pemimpin negara.
b.    'Blue Print'  pemerintahan.
c.    Peraturan-peraturan  dan perundangan.
d.    Pengelolaan negara.
Bagi memenuhi keperluan di atas, bebanan dakwah yang semakin berat dan tatacara kerja dakwah yang semakin luas ini menghendaki persiapan-persiapan yang lebih besar daripada orbit-orbit sebelumnya.

Di antara hasil kerja dakwah pada tahapan ini adalah melahirkan sumber tenaga manusia yang memiliki keterampilan akademik yang handal untuk mampu mentransformasikan ajaran-ajaran Islam ke dalam format perlembagaan, undang-undang dan pengeluaran hukum lainnya di samping memasukkan sekelompok tenaga kepimpinan pada tahap negara yang memiliki visi dan kemampuan teknikal untuk mengelola negara.
Merekalah yang akan menentukan (di tahap aplikasi) seperti apakah wajah Islam dalam alam nyata dan akan menentukan berhasil atau tidaknya projek Islamisasi iaitu membangunkan kehidupan berdasarkan kehendak Allah swt.
Pada orbit ini, gerakan dakwah wajib memberikan sumbangan yang aktif bagi mewujudkan kemandirian material yang akan menjadikan bangsa kita tetap hidup walaupun akan menghadapi sekatan dan pengasingan.
Mengapa berlaku demikian?
Ini adalah kerana sejarah mengajarkan kepada kita bahwa tidak pernah ada sebuah negara yang menyatakan Islam sebagai ideologinya, melainkan ia pasti memasuki hari-hari panjang yang penuh keringat, air mata dan darah.
Sejak Rasulullah saw berhijrah ke Madinah, beliau perlu menghadapi 68 kali pertempuran dan memimpin 28 peperangan.

Di zaman kini pula setidak-tidaknya kita perlu belajar dari Iran (1979) dan Sudan (1987) di mana apabila kedua negara tersebut menyatakan diri sebagai Negara Islam, dunia dengan segera bertindak melakukan sekatan atau yang paling terkini, kita dapat belajar dari pemerintahan Hamas di Gaza, Palestin (2007).
Sejarah telah mengajarkan kepada kita bahwa ada risiko yang mesti ditanggung apabila sebuah negara menyatakan Islam sebagai jati dirinya.
Oleh kerana itu, apabila putaran ekonomi tetap dapat berjalan di dalam sebuah Negara yang mengistiharkan Islam sebagai dasarnya, maka itu sudah merupakan tanda persiapan ke arah Negara yang lebih bebas.

Gerakan dakwah pada orbit negara ini pun wajib mendukung peningkatan kapasiti pertahanan yang teguh disebabkan oleh halangan luaran yang mungkin dihadapi dan tidak terbatas hanya kepada gangguan ekonomi tapi juga gangguan pertahanan.
Selain itu gerakan dakwah pun mestilah mampu membangun  jaringan antarabangsa yang akan memungkinkan negara tetap wujud dalam percaturan antarabangsa atau tetap memiliki jalan keluar walaupun mungkin menghadapi risiko sekatan atau penjajahan.
Manakala apabila tahapan kerja dan syarat-syarat persediaan Islamisasi itu sudah dapat dipenuhi secara sempurna dan lengkap, maka pada saat itulah gerakan dakwah dapat memikul  tuntutan politik yang ditandai dengan adanya parti-parti politik (bersama masyarakat awam) yang secara rasminya meminta penerapan syariat Islam pada tahap perlembagaan.
Tahapan kerja dan pemenuhan syarat-syarat persediaan Islamisasi ini secara idealnya dapat berjalan secara berurutan. Namun pada kenyataannya lebih elok kalau ianya berjalan secara selari.

KERJA DAKWAH BELUM SELESAI
Dalam perspektif dakwah sebagai sebuah projek peradaban, langkah seterusnya yang perlu dilakukan oleh gerakan dakwah adalah usaha penyelarasan dengan bangsa-bangsa muslim lain yang menyangkut masalah politik, ekonomi, sosial, pertahanan, keamanan dan peradaban Islam secara umum.
Setelah itu, ia akan berupaya untuk membentuk persekutuan dan permuafakatan di antara mereka untuk mendirikan lembaga-lembaga ummat dan mengadakan muktamar antara negara lalu seterusnya berusaha untuk membentuk persekutuan bangsa-bangsa muslim.
Jika perkara itu dapat diwujudkan dengan sempurna, maka akan berhasillah sebuah kesepakatan untuk mengangkat pemimpin yang satu sebagai simbol persatuan umat Islam sedunia.

DAKWAH YANG LENGKAP
Apabila sampai ke tahap ini, barulah gerakan dakwah dapat berbicara kepada dunia sepertimana yang pernah Rasulullah saw katakan kepada Heraclius :
"Masuklah ke dalam Islam supaya kamu selamat!"
atau mengatakan kepada mereka seperti yang pernah diucapkan oleh Nabi Sulaiman kepada Ratu Balqis ;
"Ini (surat) datang dari Sulaiman, dan sesungguhnya (ia datang) dengan nama Allah Yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang." (QS An Naml : 30)
Namun untuk sampai ke tahap ini, jalannya masih panjang dan berliku, 'La haula wa laa quwwata illa billah'.
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami teruskan usaha-usaha kami di setiap orbit-orbit yang kami lalui dan menetapkan kaki kami di atas jalan dakwah ini sehingga kami pulang kepadaMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

 Posted by IKRAM Kuala Langat