Tuesday, December 29, 2009

Nilai Pendidikan Anak-Anak


Di peringkat Negara, pendidikan generasi muda sering mendapat perhatian dan peruntukan yang besar. Itu adalah kerana kepincangan generasi muda akan melibatkan masalah dan kos yang sangat besar untuk diperbaiki. Malaysia kini dilaporkan terpaksa membelanjakan sejumlah RM1.3 bilion bagi tujuan menangani masalah dadah walaupun kerajaan dinyatakan masih gagal dalam usaha menanganinya (rujuk di sini).
Itu baru satu masalah negara, apa pula masalah-masalah lain seperti juvana, gejala sosial, kemaksiatan dan lain-lain – kesemuanya bukan sahaja melibatkan perbelanjaan wang ringgit, tetapi curahan tenaga penguatkuasa dan prasarana berbilion ringgit pula.
Menurut Prof. Dr. Yusof Al Qaradhawi, seorang sarjana dan pemikir Islam yang tersohor dan disegani masa kini, katanya ; “ Apabila kita hendak melihat wajah negara pada masa hadapan, lihatlah generasi mudanya pada hari ini, sekiranya golongan muda pada hari ini adalah dari kalangan yang berakhlak dan berhemah tinggi, tentunya negara kita akan datang adalah sebuah negara yang aman makmur ‘ baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur” tetapi jika keadaan adalah sebaliknya maka bersedialah untuk berhadapan dengan kemungkinan buruk yang akan berlaku”.
Hal tersebut sebenarnya bermula dengan keimanan sesaorang individu, sebab itu semenjak Nabi Ibrahim hal ini telah menjadi keperihatinan dan tertera di dalam do’a Nabi Ibrahim. Dan (ingatlah) ketika Ibrahim berkata: “Ya Tuhanku, jadikanlah negeri ini (Mekah) negeri yang aman dan jauhkanlah aku beserta anak cucuku daripada menyembah berhala. Ya Tuhanku, sesungguhnya berhala-berhala itu telah menyesatkan kebanyakan daripada manusia, maka sesiapa yang mengikutiku, maka sesungguhnya orang itu termasuk daripada golonganku, dan sesiapa yang menderhakai aku, maka sesungguhnya Engkau maha Pengampun lagi Maha Penyayang” (Surah Ibrahim:35-36).
Pada ibu bapa yang diberi hidayah dan kesedaran serta peluang memasukan anak-anaknya ke sekolah-sekolah Islam, mereka akan mengambil peluang keemasan tersebut dan sangup mengorbankan sebahagian rezekinya untuk membayar yuran pendidikan di sekolah Islam swasta walaupun mempunyai pilihan untuk mendapatkan pendidikan di sekolah kerajaan yang boleh dikatakan percuma. Ibu bapa tersebut tentunya menyedari hadith Rasulullah dan berusaha untuk memastikan anak-anak menjadi anak yang bertaqwa. Rasulullah SAW bersabda (maksudnya);“Kanak-kanak itu dilahirkan suci murni, maka ibu dan ayahnyalah yang akan menjadikan ia Nssrani, Yahudi atau Majusi ataupun seorang yang tidak berpegang kepada sebarang agama hingga dia tidak yakin dan percaya akan wujudnya Tuhan itu”
Di sekolah yang mengutamakan dan menjadikan asas pendidikan Islam sebagai tunggak pendidikan, aspek keberkesanan pendidikan (tarbiyah) tidak dikompromikan walaupun disamping itu pelajaran akademik turut diajar. Sekolah Islam sebegini berpegang kepada Firman Allah (maksudnya); “Wahai anakku, dirikanlah solat dan suruhlah manusia mengerjakan yang baik dan cegahlah mereka dari mengerjakan yang mungkar dan bersabarlah terhadap apa yang menimpa engkau. Sesungguhnya yang demikian itu termasuk hal-hal yang diwajibkan oleh Allah”. (Surah Luqman:17)
Kepada ibu bapa yang memilih sekolah Islam sebagaimana sekolah-sekolah rangkaian MUSLEH di Malaysia (sebagai contoh), mereka sedar akan sabda Rasulullah SAW (maksudnya); “Satu dirham yang anda belanjakan di jalan Allah dan satu dirham yang anda keluarkan kepada kenderaan anda; dan satu dirham yang anda nafkahkan kepada anak-anak anda; antara semuanya itu sebaik-baik dirham itu ialah apa yang anda nafkahkan kepada anak anda.” (Maksud Hadith)
Pendidikan Islam anak-anak diperingkat rendah dan menengah sesungguhnya bukan suatu ‘pilihan’ sebaliknya ia adalah Amanah dan Kewajipan yang perlu ditunaikan oleh ibu bapa. Bayaran yuran dan keperluan memasukkan anak-anak di sekolah Islam swasta sememang memerlukan bayaran yang agak tinggi (namun tidaklah setinggi sekolah swasta lain). Tetapi jika kita meneliti pengorbanan ini di dalam perspektif perjuangan dan tanggungjawab ayah ibu, ia sebenarnya adalah pelaburan yang sangat tepat dan terpuji. Kejayaan pendidikan anak-anak melalui pendekatan ini, Insya Allah bukan sahaja akan memungkinkan lahirnya generasi soleh wa-musleh yang akan menyejukkan dan mengamankan roh-roh ibu bapa, lebih dari itu akan mampu menyumbang kepada kesejahteraan masyarakat, negara dan ummah. Kita sebenarnya adalah pendokong dan pemangkin kepada bakal lahirnya generasi baru seumpama ‘Umar Abdul Aziz’, ‘Salahuddin al-Ayubi’ dan ‘Hassan Al-Banna’ Insya Allah. Jika itu menjadi niat kita, sesungguhnya nilaian pengorbanan ini di sisi Allah sangatlah besar berbanding wang yang kita belanjakan untuk pendidikan anak-anak kita itu yang sebenarnya juga adalah datangnya dari Allah dan merupakan amanah Allah untuk kita belanjakan ditempat yang terbaik. [Gambar: Pelajar Sek Tahfiz Al-Islah (STAIL) Seberang Perai].

Wednesday, December 23, 2009

Saingan Yang Sengit

Dua hari lalu saya menyertai bengkel perancangan stratagik organisasi 2009-2014, iaitu untuk lima tahun kehadapan. Di dalam perancangan stratagi, status terkini organisi dari segi pencapaian, kekuatan dan peluang dikenalpasti. Di dalam memeta rancangan masa hadapan, kelemahan dan ancaman juga dikenalpasti. Tujuan perancangan starategik adalah agar organisasi dapat berperanan dengan lebih berkesan dan memenuhi harapan dan keperluan stakeholders. Untuk mencapai misi tersebut, tidak kurang halangan dan saingan yang sengit yang perlu diharungi oleh organisasi.
Tidak mudah untuk memastikan organisasi mencapai hasrat dan tujuan kewujudannya. Banyak aspek perlu dicapai dan banyak pula sasaran dikenalpasti. Tidak mudah mencapai segala sasaran terutama bila menganalisa pesaing yang semakin ramai dan semakin kuat. Organisasi terpaksa merancang staratagi untuk berdepan dengan kompetator berasaskan bebeapa strategic objektif dan langkah strategi.
Demikianlah hebatnya cabaran dan langkah-langkah ke hadapan organisasi modern hari ini. Sehingga saya bayangkan, jika dikerahkan tenaga, masa dan kewangan yang bayak ... belum tentu sesebuah organisasi modern berada di kemuncak kegemilangan dek kerana sengitnya pertandingan dalam dunia pentadbiran dan korporat modern hari ini.

Merenung dari sudut lain, bagaimana agaknya perjuangan dan cita-cita meletakkan Islam di mercu kejayaan dalam keadaan Islam yang dagang hari ini? Bukan kerana pesaing, tetapi yang pasti setru (lawan) yang kompleks dan serba licik dan cangih. Hanya Allah yang maha mengetahui dan pertolonganNya diharapkan.

Saturday, December 19, 2009

Umur ini begitu cepat berjalan


Akhir-akhir ini aku sering merenung diri yang telah menjangkau setengah abad. Ku toleh kekiri, ke kanan dan kehadapan - masih banyak tugasan yang belum ku lunaskan. Benar kata Imam Al-Banna: "Kerja kita lebih banyak dari masa yang kita ada".
Bagi memungkinkan melaksanakan segala tugas dan kewajipan, seaorang perlu memiliki kesihatan, kecerdasan, ruang masa, tenaga, keupayaan dengan Izin Nya. Benarlah sabda Rasulullah saw "Mukmin yang kuat lebih disukai Allah dari mukmin yang lemah".
Bila usia sudah mencecah setengah abad, terasa keterbatasan dan bimbang akan munculnya penyakit. Oleh itu keperluan kepada pengawalan diri yang lebih kemas dan ketat. Penjagaan kesihatan perlu sentiasa diawasi, permakanan perlu diteliti. Allah sahaja yang Maha Mengetahui tentang penghujung umur kita, namun orang mukmin perlu berfikiran positif. Tugas dan tanggungjawab; kewajipan dan perjuangan perlu dilaksanakan sehingga kepenghujung hayat. Perjuangan hakiaktnya tidak berakhir bagi mukmin yang ikhlas berjuang, kerana perjuangan itu akan disambung oleh generasi seterusnya. Oleh itu mempersiapkan generasi penerus adalah sebahagian dari kewajipan yang asasi. Agar dakwah ini akan terus berkesinambungan dan langkah-langkah pemerkasaan misi bagi tercapainya visi menjadi kenyataan.

Monday, December 7, 2009

Hidup, Sihat, Sakit atau Mati ... di Tangan Ilahi



Semalam aku berada di kampung, bersama 3 hero/heroin anak-anakku yang semakin dewasa... mengendalikan program tahunan SmartCampKabare yang disertai oleh anak-anak keluargaku terdkat dan pelajar SKSJ. Di penghujung kem di hari ketiga, anakku yang menjadi ketua fasilitator membahagikan para peserta kepada 4 kumpulan dan aku perlu mengendalikan 12 peserta dari darjah 6 - ting. 4. Lantas ku bawa mereka menaiki van 12 seater menulusuri jalan kampungku yang sempit dan berbecak ... menuju sebuah rumah terpencil di hujung kampung ... rumah kawanku sekelas ketika sekolah agama semasa remajaku. Kini beliau berumur 52 tahun dan sedang ditimpa sakit. Aku tahu keadaannya dua hari lalu di kampung. Pintu rumah ku ketuk sambil memberi salam... daun pintu dibuka oleh seorang wanita bertudung ... isteri kawanku itu ... lantas beliau ke dalam dan datang semula memimpin tangan suaminya ... terkejut di dalam hatiku melihat tubuh yang kurus di hadapanku sambil menyambut kedatanganku. Ketika ku temui empat tahun lalu kawanku adalah seorang yang bertubuh gagah dan berwajah seri... kini muka yang cengkung dan raut wajah yang sayu....
Aku masuk setelah dijemput, dan ku ajak murid-murid yang ku bawa masuk bersama dan aku duduk di sofa di sebelah kawanku di ruang tamu serta bertanya khabar dan memulakan bicara. Sesekali ku selitkan tazkiarah untuk murid-murid yang ku bawa bersama sambil sesekali memberikan semangat agar kawanku ini redha di atas ketentuan Allah yang mentakdirkan beliau diserang angin ahmar sehinga lemah tubuh badannya. Sesekali kawanku ini menitiskan air mata mengenang nasibnya. Isteri yang berada di sampingnya juga kelihatan sugul, mengenang nasib keluarganya yang sedang membesarkan anak-anak yang masih di peringkat kolej dan sekolah. Bila ku tanya akan anak-anak ... sekali lagi beliau mengalirkan air matanya ... lantas memangil dengan suara lemah... anak remajanya yang berada di ruang belakang. Beberapa ketika melangkah ke ruang tamu seorang remaja sekitar umur 21 tahun sambil berjalan mengheret kaki ... ku hulur tangan bersalam dan memeprsilakan duduk di hadapanku. Lantas kawanku menceritakan bagaimana anaknya terlibat dalam kemalangan motosikal beberapa bulan lalu. Anaknya telah tidak sedarkan diri beberapa minggu dan Alhamdulillah kini telah beransur pulih dan mudah-mudahan akan dapat menyambung pelajaran di semester akhir peingkat diploma mulai hujung bulan ini.

Di dalam perjalanan balik ke 'base-camp', aku terus mengisi perjalanan dengan kata peringatan dan nasihat kepada pelajar-pelajar yang ku bawa bersama. Harapanku remaja-remaja semuda ini perlu mengambil iktibar dari apa jua peristiwa di sekeliling mereka. Sememang aku sering memperingatkan para remaja di dalam kesempatan memberikan ceramah motivasi agar menghargai masa muda dan berusaha untuk memberi makna dalam hidup yang masih panjang.

Kita sebagai manusia, sering lupa dan alpa bahawa perjalanan hidup kita adalah anugerah dari Ilahi. Anugerah yang perlu sangat dihargai dan diberi nilai yang bererti. Tiada erti hidup ini jika ianya sia-sia di sisi Allah walaupun zahirnya kita berharta dan mampu mengumpul kemewahan. Untuk bernilai, jadikan setiap detik hidup ini sebagai Ibadah ... "tidak Aku jadikan jin dan manusia kecuali untuk beribadah kepada KU". Ini peringatan Allah dalam surah AdzZariat 56. Sihat, Sakit atau mati adalah di tangan ALlah. Kita sebagai hambaNya, harus berusaha memerlihara sebaik mungkin. Jika Allah mengizinkan kesihata dan umur ang panjang, marilah kita jadikan sebagai kehidupan yang sangat bernilai. Isilah dengan amal fardhi (ibadah yang benar, akhlak yang baik, nasihat yang berguna... dll). Juga amal jama'i ... seperti menjalankan aktiviti dakwah, meliabtkan diri dalam kerja komuniti yang bermanfaat, menalankan tarbiyah dan memperkuatkan ummah melalui kerja-kerja berorganisasi atau berjamaah. "Bertolong-tolonglah kamu di dalam kebaikkan dan takwa dan janganlah kamu bertolong-tolongan di dalam kemungkaran dan kemaksiatan" (maksud firman ALlah).

Wednesday, December 2, 2009

Dakwah Sebagai Tanda Syukur Ilahi


"Sampaikanlah walaupun satu ayat"
"Demi Masa Sesungguhnya Manusia Berada Di Dalam Kerugian, Kecuali Mereka Yang Beriman dan Beramal Soleh..."
"Tolong-menolonglah Dalam Kebaikan dan Taqwa..."

Ayat-ayat di atas adalah gambaran dan anjuran ALlah agar orang yang beriman sentiasa melakukan kebaikan dan amal soleh. Kebaikan sama ada dalam bentuk ibadatnya kepada Allah, Keperibadian/Akhlak yang baik, juga menyeru, mengajak, memanggil manusia agar melakukan kebaikan - iaitu berdakwah. Secara langsung mahupun sebaliknya, amalan-amalan yang baik yang dilaksanakan dengan tulus ikhlas kerana mencari keridhaan Allah swt adalah merupakan suatu dakwah.
Orang yang beriman sewajarnya menjadikan kehidupannya berada di dalam lingkungan ibadah sebagaimana yang dijelaskan di atas. Jika direnung dan dihitung nikmat yang Allah kurniakan kepada kita, sudah pasti tidak terhitung banyaknya dan langsung tidak terbalas. Rasulullah sendiri apabila ditanya oleh 'Aishah "mengapa Rasulullah bersolah malam sehingga bengkak kaki.." di jawab banginda "Salahkah aku berterima kasih kepada ALlah ...?"
Itu bermakna ... banyak perkara yang perlu kita buktikan kepada Allah swt bahawa kita adalah hambanya yang bersyukur.... dan salah satunya ialah dengan melakukan amal dakwah, mengajak manusia kepada kebenaran dan amalan Islam yang murni. Mengajak manusia kepada kehidupan Islam dan meninggalkan cara hidup yang bertentangan dengan ajarannya. Wallahu 'Alam.