Friday, June 13, 2014

Apabila Ireland, Singapura dan Jerman Lebih Islam Daripada Kita


Apabila Ireland, Singapura dan Jerman Lebih Islam Daripada Kita

[Kredit]

Ada sebuah buku yang sudah ribuan tahun usianya. Buku ini berjaya merentasi zaman dan kekal relevan sehingga kini. Dan bukan, ia bukan sebuah buku  yang mengumpulkan resipi masakan orang-orang dahulu kala. Peluh besar.

Buku ini merupakan mukjizat agung yang tiada tolong bandingnya. Ia diturunkan oleh Allah khas buat umat Islam untuk dijadikan rujukan dan panduan.

Sejak zaman berzaman, umat Islam berpegang teguh pada ajaran yang dibawakan oleh buku ini. Di dalam buku ini terkandung bermacam rahsia dan bimbingan, yang sekiranya diikuti dan dipatuhi dengan taat dan tanpa kompromi, pastilah akan membuahkan kejayaan dan kemenangan yang tiada taranya. Oleh sebab itulah, umat Islam sejak zaman berzaman berjaya membina sebuah tamadun kemanusiaan yang begitu hebat, sehinggakan tiada satu tamadun pon sebelum itu yang boleh menandinginya. Umat Islam berjaya mencapai satu tahap yang tidak pernah terotakkan oleh sesiapa pon sesiapa pon.

Semuanya hanya kerana mereka mengambil dan mengamalkan ajaran-ajaran yang terkandung di dalam buku itu.

Sehinggalah... 

Umat Islam mula melupakan dan meninggalkan buku itu. Sama ada sebagai kesan langsung akibat daripada ghazwul fikr (serangan pemikiran) oleh musuh-musuh Islam yang sememangnya mahukan umat Islam jauh daripada ajaran-ajaran buku itu atau pon dek kelalaian umat Islam sendiri yang semakin syok dan larut dengan kemewahan dunia. Alahai. 

Maka buku itu hanya tinggal sebagai buku yang mengandungi mantera-mantera ajaib untuk menghalau jin dan hantu. Ia menjadi tempat mengumpul habuk yang paling baik di rak-rak buku. Sekali-sekala ia juga boleh menjadi senjata untuk menghempuk kepala perompak yang memecah masuk ke dalam rumah di kala malam yang sejuk dan sunyi. 

Hampeh.

Sekali-sekala adalah ahli politik itu menghamburkan beberapa ayat daripada buku itu untuk menjustifikasikan polisi atau manifesto parti yang dianggotainya. Atau ostad ini yang berceramah dengan penuh berbara sehingga tersembur-sembur air liur menggunakan beberapa potong ayat dari buku itu untuk menambah perisa pada ceramahnya. Atau kumpulan nasyid yang terlalu mengejar populariti sehingga tergamak melagukan beberapa ayat dari buku itu untuk melariskan lagi albumnya. 

Adeh.

Ya, buku itu adalah al-Quran. Kitab suci yang semakin dilupakan. Bukan dilupakan jasadnya; malah zaman sekarang ini entah bermacam Quran boleh didapati di pasaran, daripada yang berwarna-warni sehingga yang setebal sepuluh inci. Namun ruhnya itu yang dilupakan. Pengajaran dan kehidupan yang terkandung di dalamnya itu yang semakin diabaikan.

Oleh siapa? Tidak lain dan tidak bukan, oleh umat Islam sendiri. Ya, kitalah! 

Maka tidak hairanlah, baru-baru ini sebuah kajian yang dilakukan oleh Hossein Askari, seorang Professor Jabatan Perdagangan Antarabangsa dan Perhubungan Antarabangsa, Universiti George di Washington bersama-bersama dengan Scheherazade S. Rehman telah mendapati, kebanyakan negara-negara bukan Islam (bukan Islam dari segi majoriti penduduknya) jauh lebih beramal dengan Quran berbanding dengan negara-negara Islam sendiri.

Malah yang lebih mengejutkan dan bisa membuatkan Ostajah Shirley Tumpul menarik-narik tudung labuhnya kerana tidak terpercaya adalah tiada satu pon negara-negara anggota OIC yang menduduki sepuluh, malah dua puluh, malah tiga puluh tempat teratas di dalam senarai itu! Malaysia adalah negara OIC terbaik yang tersenarai, menduduki tempat ketigapuluhtiga di dalam senarai itu. 

Oh, I see.

Ireland, sebuah negara yang majoriti penduduknya terdiri daripada penganut Protestan dan Katolik, menjuarai carta negara mana yang paling Islamik berdasarkan ajaran Quran! 
 
Jatuh kerusi.

Selain itu, Kerajaan Bersatu berkongsi kedudukan yang keempat bersama dengan Sweden di dalam senarai itu, Singapura (ketujuh), Hong Kong (dua belas), Australia (empat belas), Amerika Syarikat (lima belas) Jepun (dua puluh satu), Jerman (dua puluh enam), negara haram Israel (dua puluh tujuh. Aikkk...??) dan Korea (tiga puluh satu), semuanya di atas Malaysia yang berada di keduduk tiga puluh tiga.

Apakah asas kepada kajian ini, Inche gabbana? Memandai-mandai je. Depa makan babi! Minum arak! Main judi! Mana mungkin depa lebih Islamik dari Malaysia! 

Err. Mari kita lihat dahulu. Kemudian terpulanglah kepada anda untuk membuat penilaian sendiri. 

Empat aspek utama yang dilihat adalah pengurusan pentadbiran (governance), hak asasi kemanusiaan dan politik (political and human rights) dan perhubungan antarabangsa (international relations). 

Kajian mereka mendapati, negara umat Islam seperti Arab Saudi, Mesir, Sudan dan sebagainya, mendapat markah yang amat rendah dalam keempat-empat aspek ini. Hal ini kerana, seperti yang disebut Professor Hossein Askari, negara-negara Islam ini menjadikan Islam sebagai alat semata-mata untuk berkuasa.

"Kami mesti menekankan bahawa kebanyakan negara yang mengaku Islam dan dipanggil Islamik adalah zalim, korup dan mundur dan hakikatnya tidak Islamik dari sudut pandang apa sekalipon."

Gituuuh.   

Adoii malu Jaaahh maluu! Mana nak letak muka kita niii...?? [Kredit]

Saya tidak hairan akan ada mana-mana orang Islam di mana-mana negara Islam yang akan membuat protes dan membakar tayar bagi menunjukkan rasa tidak puas hati dengan kajian ini. Atau mengugut untuk membakar pejabat Professor Hossein Askari dan Scheherazade S. Rehman. Atau paling koman pon, mencetak hasil kajian tersebut lantas mengoyak-ngoyakkan dan memijak-mijaknya dengan penuh emosi.

Ya, mungkin ada unsur bias pada kajian tersebut. Barangkali kajian tersebut ada kelemahannya dan fakta yang dibentangkan tidak tepat. Boleh jadi Malaysia dan beberapa negara Islam yang lain sepatutnya menduduki tangga yang lebih tinggi. Kamonlah, Malaysia yang ada logo halal JAKIM dan pernah mahu mengharamkan pemakaian jeans oleh golongan pengkid, takkanlah duduk di tangga tiga puluh tiga kot...??

Namun hakikatnya, jauh di dalam sudut hati anda, anda tahu ada kebenarannya pada kajian tersebut. Ketika masa-masa tiada orang yang memerhatikan anda, anda tersenyum seorang diri sambil menggeleng-gelengkan kepala, terasa lucu dengan ironinya hidup di sebuah negara yang sering mendakwa dirinya Islam dan mengamalkan Islam.

Bukan begitu? 

Anda yang pernah berpeluang menetap atau bermastatutin di luar negara, baik bekerja, belajar atau mengikuti keluarga, pasti bersetuju, jika tidak dengan sepenuh hati pon, sekurang-kurangnya adalah sedikit cebisan hati itu dengan kajian ini. 

Ya, kehidupan sosial mereka sememangnya porak peranda. Ibu-ibu muda sehari-hari melahirkan anak tanpa bapa. Kes-kes bunuh diri akibat kechiwa dengan hidup cukup tinggi di negara ini. Saban tahun kerajaan mereka terpaksa membelanjakan wang dalam jumlah yang besar bagi merawat rakyat mereka yang ketagihan arak dan dadah.

Namun di sebalik semua itu, nilai-nilai kemanusiaan mereka sangat tinggi. Di sebalik keruntuhan akhlak dan kebejatan sosial yang sedikit demi sedikit sedang memamah negara mereka, mereka punya nilai asas yang malangnya tidak dimiliki oleh kebanyakan umat Islam pada hari ini. 

Mereka menjaga warga tua mereka dengan penuh amanah. 

Bandar-bandar mereka bersih, tanpa bekas polisterin buat bungkus mee goreng mamak dan pembalut Nini Cokelat Celup yang menyakitkan mata. 

Pemandu-pemandu mereka amat menghormati pejalan kali. Dan pada mereka, merah itu tanda berhenti. Betul-betul berhenti.

Tandas mereka bersih dan 'menyelerakan.' 

Mereka tidak lokek dengan senyuman dan mesra memulakan perbualan meski dengan orang yang tidak dikenali. 

Mereka amanah. Sekiranya anda tercicir dompet di Jepun misalnya, anda boleh menemukannya semula di tempatnya yang asal hatta lapan sembilan jam selepas itu.  

Mereka amat menghormati dan menepati masa. Tiada istilah janji Irish atau janji Francais dalam hidup mereka. 

Bila-bila masa sahaja anda boleh mengkritik dan menegur pemimpin, tanpa perlu rasa khuatir anda akan dibom atau keluarga anda akan diculik, diikat dan dicampakkan ke dalam kolam ikan piranha.

Anda akan dilayan dengan adil dan saksama, sama rata oleh kerajaan anda meskipon trang tang tang anda mengundi parti pembangkang pada pilihanraya yang lepas. 

Ya benar, bukan semuanya begitu. Tapi kebanyakannya. 

Dan yang menariknya dan lebih utama, semua nilai-nilai itu terkandung di dalam al-Quran. Segala kebaikan dan nilai-nila terpuji pada mereka ini sememangnya diajar oleh Islam. Inilah asas kepada kajian Porfessor Hossein Askari dan Scheherazade S. Rehman itu.  

"Aku jumpa Islam di Eropah, tanpa Muslim. Di sini (Mesir), aku jumpa ramai Muslim tanpa Islam."

Maka saya terpaksa bersetuju dengan kata-kata keramat yang pernah diungkapkan oleh Syaikh Muhammad Abduh itu.

"Jika kamu sebut demikian, sesungguhnya pada mereka (orang Rom) ada empat ciri yang baik. Pertama; mereka paling santun (forbearing) ketika dalam bahaya. Kedua; mereka paling pantas bangkit selepas bencana. Ketiga; paling cepat menyerang balas musuh. Keempat; mereka paling baik untuk anak yatim, orang miskin dan orang lemah kalangan mereka. Tambahan kelima, satu ciri yang baik lagi indah; mereka golongan yang paling mencegah kezaliman raja-raja." 

Hari ini kita menjadi saksi kepada kata-kata 'Amr ibn al-'As r.a. ini. Orang-orang Rom yang dimaksudkan itu adalah bangsa Eropah pada hari ini. Betapa nilai-nilai yang ada pada mereka hari ini menjadikan mereka maju dan kuat.

Lihat pula pada negara-negara yang kononnya Islam itu. Adoi. Tengok tu, belum apa-apa lagi dah adoi dulu. Eh.

Di Mesir dan Syria kita lihat bagaimana pemimpin mereka menyembelih rakyat sendiri tanpa rasa malu dan sesal di hati.

Di Sudan dan Somalia, perang saudara sejak sekian lama seperti tidak jumpa akan titik noktahnya.

Di Arab Saudi, secara praktikalnya negaranya dipimpin oleh sebuah keluarga sahaja. Ya, sebuah keluarga yang korup dan punya banyak rekod buruk dalam pelbagai isu.

Di Emiriyah Arab Bersatu, Kuwait, Qatar dan Bahrain, kekayaan mereka melimpah ruah, tapi langsung tidak peduli pada jiran-jiran mereka Palestin, Iraq dan Syria yang bergejolak.

Di Pakistan dan Bangladesh, krisis kepemimpinan sejak sekian lama terus membuatkan rakyat menjadi mangsa.

Di Malaysia dan Indonesia, rasuah dan korupsi itu seperti perkara normal buat borak-borak di kedai kopi.  

Di Brunei... Ok lah baru-baru ini Sultannya mahu melaksanakan syariat Islam di negara itu sepenuhnya. Kita doakan agar semuanya berjalan lancar, biidznillah.

Dan semua ini, belum lagi kita lihat pada aspek-aspek kemanusiaan yang lainnya; kebersihannya, amanahnya, ketepatan waktunya, budi pekertinya, sikap kepenggunaannya, akhlak di jalan rayanya dan senarainya berterusan. 

Bagaimana? Anda sudah mula nampak permainannya...?

Sampai bila umat Islam haru menderita, terbelenggu dek kejahilan dan kezaliman diri sendiri? [Kredit]

Ya hakikatnya memang pahit. Fakta yang terbentang di hapadan mata sememangnya tidak busuk dan tidak lazat untuk dikunyah, apatah lagi ditelan. 

Orang-orang bukan Islam, mereka semakin maju dan hebat apabila mereka semakin jauh daripada agama mereka, kerana agama mereka yang sudah tercemar dengan tangan-tangan manusia itu bersifat korup dan menindas. Lantas, apabila mereka mengasingkan agama daripada kehidupan mereka (sekular), mereka bebas daripada cengkaman pihak agamawan yang zalim.

Sedangkan kita, umat Islam, mundur dan miskin apabila kita menjauhkan diri daripada ad-deen ini, kerana agama ini sifatnya sempurna, lengkap dan melengkapkan. Tiada apa yang kurang padanya. Lantas, apabila kita mengasingkan kehidupan kita sehari-hari daripada al-Quran dan sunnah, dua sumber yang sepatutnya apabila dipegang tidak akan membuatkan kita sesat buat selamanya, maka kita tercengkan oleh kezaliman diri kita sendiri.

Aduhai.

Ya, kita mungkin tidak makan babi dan minum arak. Kita mungkin tidak berzina dan memakai bikini ke pantai. Kita mungkin ke masjid mendengar ceramah-ceramah agama dan bila cukup duit, bayar zakat dan pergi menunaikan haji.

Namun malangnya, itulah kita. Islam pada kulitnya sahaja. Intinya? Isinya? Kosong... Kosong.. Bak kata Najwa Latif. Err. 

"Wahai orang-orang beriman! Masuklah ke dalam Islam secara keseluruhan!"
[al-Baqarah, 2:208]

Ia adalah suatu arahan. Suatu perintah dan suruhan. Betapa kita, umat Islam, orang-orang yang beriman, hendaklah beriman dengan manhaj Islam itu sepenuhnya. Bukan hanya pada aspek-aspek tertentu. Bukan secara juz'iyyah. Tetapi kesemuanya. 

Kerana Islam itu adalah sistem yang menguruskan kehidupan. Islam itu adalah cara hidup yang mencakupi segala aspek dan sisi dalam kehidupan kita sebagai hambaNya. Dan kerana Islam itu adalah manhaj yang sempurna, ditulis dan dirangka oleh Tuhan yang pastinya Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk umat manusia.

Sehingga itu, sehingga umat Islam tidak kembali berpegang kepada al-Quran dan sunnah, tidak benar-benar mengamalkan apa yang diajar oleh Islam dan Rasulullah SAW, kita akan terus mundur dan miskin, terus-menerus ditindas dan dipijak oleh musuh-musuh kita.

Musuh-musuh yang jauh lebih Islam daripada kita. 

-gabbana-

Makalah akademik Professor Hossein Askari dan Scheherazade S. Rehman yang bertajuk 'An Economic Islamicity Index' boleh dibaca di sini


No comments:

Post a Comment