Saturday, November 30, 2013

Rezeki anak ramai


ROSHLAWATY RAIEH, SALWANI MD ZAIN & AZIMAH GHAZALI
1 Disember 2013 http://www.sinarharian.com.my/rezeki-anak-ramai-1.226245
< 1 / 3 >
"Meriahnya... lagi sekali, 14 orang, 15 orang, 16 orang, seibu sebapa? biar betul?," kata-kata seperti itu sering diulang apabila berdepan mereka yang mempunyai keluarga besar. Perkara itu menjadi biasa kalangan mereka, namun luar biasa bagi seorang yang dilahirkan sebagai anak tunggal. 

Berbalik kepada masyarakat kita, Melayu amnya, kehadiran anak ramai adalah suatu rahmat kerana tidak semua wanita mempunyai keistimewaan melahirkan anak-anak yang sempurna akhlak, fizikal dan mentalnya.   

Dari segi populasi pula, kehidupan di bandar yang mencabar dari segi kewangan, dan cara hidup, ada kalanya tidak mengizinkan sesebuah keluarga memiliki ramai anak. Ada yang berpendapat, lebih ramai anak, lebih besar tanggungjawab dan tanggungan.

Perjalanan hidup di bandar yang mencabar juga menyebabkan masyarakat kota memilih kaedah perancang keluarga. Lebih mencabar kos taraf hidup di bandar berkali ganda berbanding kampung terutama dalam soal menyediakan asuhan, pendidikan, bayaran perubatan, dan lain-lain keperluan terbaik untuk anak-anak.

 Jadi tidak hairan, ibu bapa di kota bukan menolak kehadiran ramai anak, tetapi arus perkembangan kota kadangkala memaksa mereka berpendirian sedemikian.  

Pasangan era moden juga sering kali merancang agar mahligai dibina hanya diserikan sekurang-kurangnya dua mahupun tiga anak sahaja.

Mendukacitakan juga apabila wanita zaman moden sering mengejar kerjaya, pangkat, kecantikan dan kedudukan daripada kewajipan seorang isteri dan ibu untuk melahirkan dan membesarkan anak-anak.

Pengaruh gaya hidup moden juga sering menjadikan wanita seakan-akan malu melahirkan anak ramai walaupun mulia di sisi ALLAH. Ada juga berpendapat, memiliki anak ramai tidak relevan, lebih-lebih lagi pada zaman moden ini, sedangkan perspektif agama mengangkat martabat wanita subur dan beranak ramai.

Rasulullah SAW sungguh gembira umatnya mempunyai anak ramai. Ini dapat dilihat dalam satu hadis diriwayatkan Abu Daud, Baginda bersabda maksudnya: “Nikahlah wanita yang mencintaimu dan subur. Sesungguhnya aku akan berbangga atas kamu kerana umat yang paling ramai.”

Sungguhpun anak ramai disebut sebagai rezeki, namun dari perspektif berbeza kedengaran suara-suara sumbang mengatakan keluarga ramai ini hidup susah! Kita selami beberapa pandangan mereka yang dilahirkan dalam keluarga besar dan semuanya mencipta kejayaan menerusi kupasan isu hangat minggu ini.
Keluarga besar Wan Roslina dan Fauzi bersama anak, menantu serta cucu mereka.


Pengakuan 1 

Ibarat tanam pokok


Kita jaga anak ibarat menanam pokok, saya melihat mereka dalam konteks masa depan. Sebab itu saya tidak kisah biarpun mengandungkan 10 anak (seorang keguguran), tambahan pula saya jenis yang sukakan kanak-kanak.

Cabaran besarkan sembilan anak memang ada, terutama dari segi sosioekonomi bila tinggal di bandar seperti Shah Alam. Saya berkahwin pada 1979, semasa saya dan suami  menuntut di United Kingdom.

Pada tahun 1982 kami pulang ke Malaysia dan masa itu saya tak bekerja, suami bekerja sebagai pensyarah dengan gaji hanya lebih kurang RM1,000, sewa rumah pula RM350. Bayangkan dengan gaji yang ada kami mulakan hidup.

Pada 1983 saya dapat anak kedua. Pada masa itu  zaman inflasi, namun saya yakin rezeki ditentukan ALLAH dan rezeki anak juga ditentukanNya. Anak ketiga lahir pada tahun 1985; keempat, 1988; kelima, 1990; keenam, 1992; ketujuh, 1994;  kelapan, 1996; dan bongsu pada 2001.

Namun terpaksa dihadapi cakap-cakap orang pertikaikan walaupun balik dari belajar di luar negara, tapi tidak bekerja. Alhamdulillah saya tidak rasa susah menjaga anak.

Mereka diajar bantu kerja rumah sejak kecil. Saya memang suka mengajar anak sendiri. Mulanya saya ajar anak-anak jiran peringkat tadika di rumah saya sebelum buka tadika sendiri.

Saya mula menulis buku  kanak-kanak sekitar 1984. Kemudian cuba mencipta lagu kanak-kanak dan direkodkan.

Suami, Dr Fauzi Shaffie juga banyak membantu apa yang patut. Jadi saya tidak berasa sukar.

Anak-anak kini pun dah dewasa, yang sulung bekerja sebagai jurukamera profesional; kedua, doktor; ketiga, belajar kejuruteraan telekomunikasi; keempat, bidang geologi yang juga pereka web; kelima, masih menuntut dalam bidang perubatan; keenam, penuntut bidang kejuruteraan; ketujuh, sedang ambil diploma perakaunan; kelapan baru lepas peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia dan bongsu baru saja selesai Ujian Pencapaian Sekolah Rendah, syukur dia dapat 5A. Walaupun anak-anak kini sibuk dengan urusan masing-masing, tinggal agak berjauhan, media sosial seperti Facebook dan Whatsapp dapat mendekatkan kami.

Pada saya biar ramai anak dan bersusah dahulu dalam besarkan mereka. Saya sentiasa fikir ada orang lebih susah dari kami. Dari segi amalan untuk bantu kekuatan jiwa, saya amalkan pada anak saya, termasuk di tadika baca al-Fatihah, ayat Kursi dan ‘tiga Qul’ supaya anak-anak dilindungi atau semasa mereka buat hal.        

Wan Roslina Wan Yusoff, 55, Pengasas Tadika Little Ones, Shah Alam



Pengakuan 2
Ambil upah basuh kain bantu suami


Dengan keadaan keluarga yang agak besar, niat saya bekerja hanya untuk membantu suami yang ketika itu bekerja dengan pihak berkuasa tempatan (PBT) di Seremban.

Kami punyai anak seramai lapan orang, namun seorang meninggal ketika masih kecil kerana demam panas. Semasa anak masih kecil, saya tidak bekerja.

Namun selepas mereka sudah mula bersekolah, saya ambil upah basuh kain di rumah orang pada sebelah pagi, manakala petangnya saya menggosok baju pula. Gaji suami pun ketika itu kecil, tetapi bebanan agak kurang memandangkan kami dapat tinggal di kuarters. Selepas itu saya asuh anak orang pula.

Untuk menampung keperluan ketika itu, kami hanya beli barangan dapur yang asas dan mustahak sahaja. Bagaimanapun Alhamdulillah makan pakai kami mencukupi dan saya tidak kisah dengan anak agak ramai. Untuk jarakkan kelahiran dan berjimat, saya beri anak susu badan.

Biarpun tinggal di kawasan bandar, keadaan di Seremban ketika itu agak kurang membangun, tidak seperti hari ini.

Sekarang saya menetap di Rembau dan kehidupan juga agak lebih selesa. Syukur anak-anak dah dewasa sekarang dan berjaya dalam hidup. Malah empat anak saya berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading.

Dua antaranya bekerja sebagai guru, seorang penolong pengurus di sebuah syarikat minyak, seorang pemandu treler dan seorang bekerja di sebuah syarikat penerbitan, manakala dua lagi tidak bekerja.

Bagi saya kehidupan di bandar pada masa sekarang agak sukar kerana kos hidup semakin tinggi, jadi suami isteri perlu bekerja. Namun sibuk mana sekalipun, nasihat saya perlulah luangkan lebih banyak masa dengan anak.    - Siti Ragayah Deraof, 66, Taman Sri Rembau, Negeri Sembilan



Pengakuan 3

Tidak ada pilih kasih

Teringat masa kecil dulu kalau cakap je bilangan adik-beradik ramai, ada sesetengah orang akan buat muka. Ada sesetengah pula tanya macam mana hidup kami sekeluarga, tapi ada gak yang terpegun, sambil memuji keluarga hebat! 16 orang adik-beradik, 9 lelaki, 7 perempuan. Seibu dan sebapa.

Saya ada 8 orang abang, 3 orang kakak, 3 adik perempuan dan seorang adik lelaki.

Adik-beradik kami semuanya kelulusan sekolah menengah agama. Biar pun masa sekolah rendah semua sekolah kebangsaan, sebab ayah dan che (panggilan untuk ibu) minta kami adik-beradik tak mengabaikan tanggungjawab agama biar ke mana pun kami pergi. Sekurang-kurangnya masa kecil dibekalkan ilmu fardu ain, bila dewasa ni ilmu fardu kifayah penuh di dada.

Alhamdulillah, sepanjang kami membesar tiada istilah merempat, mengais mencari simpati orang untuk membesarkan kami adik-beradik. Ayah dan che memang berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki untuk kami adik-beradik. Ayah asalnya cikgu sekolah menukar profesion berniaga kayu selain menjadi imam dan che pula buka kilang memproses keropok.

Dari segi hubungan sesama adik-beradik pula, kalau bergaduh dengan Abe E misalnya, saya masih lagi boleh berbaik-baik dengan Abang Bil.. Une.. Abe Mie.. Abe Yie.. Abe Lie.. Abe Din.. Abe Wie dan Abe Yom. Boleh pilih-pilih jadi tempat mengadu. Mungkin kadang-kadang kita rasa mak ayah pilih kasih kat adik-beradik, sebenarnya mak ayah kita sayang sama rata saja.

Masa belajar dulu abang-abang dah kerja jadi mereka selalu menjadi banker. Kini semuanya berjaya dalam bidang masing-masing sekali pun buat kerja-kerja biasa, tak ada yang merempat, tak ada yang bergaduh adik-beradik. Dan Insya-Allah berterusan begini hingga ke generasi seterusnya. - NIK NUR SYUHADA NIK ABDULLAH, KOTA BHARU, KELANTAN
 

Pengakuan 4

Hari-hari macam hari raya


Bila bercerita kat orang lain pasal keluarga besar, memang orang akan terkejut dan bertanya, betul ke ada 16 beradik? Dan jumpa sesiapa pun semua tanya berkali-kali.

Saya ada 16 orang adik-beradik kandung seibu dan sebapa. Orang lain kaya harta, mak, ayah saya kaya anak. Dalam family saya ni ada 7 perempuan 9 lelaki. Saya anak ke-8. Saya ada 3 kakak, tapi sekarang dah tinggal dua.

Seorang kakak yang sulung meninggal 12 tahun lalu bersama anak dia dalam kemalangan. Walaupun seorang family dah meninggal, tapi bakinya masih 15 orang dan sihat semuanya. Abang sulung berumur 36, adik paling bongsu, 12. Setakat ni 7 dah kahwin, lagi 9 bujang.

Tak dinafikan time bergaduh tu ada juga. Tapi kira logik la kan, sebab bila ramai ni kadang kala ada yang tak sependapat. Rumah kami kalau berkumpul memang meriah. Cuma sekarang bila masing-masing ada family sendiri, semuanya terikat dengan komitmen. Jadi masa berkumpul terhad.

Tapi sesekali memang kakak dan abang yang dah berumur tu akan rancang pelbagai acara. Tapi bukan sukaneka. Kami lebih kepada acara makan. Terutama jika ada sambutan hari lahir adik-adik, anak sedara atau mak ayah. Kalau semua lapang, kami selalu mandi di jeram atau ke pantai sambil berBBQ.

Ada juga jamuan makan di rumah lagipun adik-beradik jenis yang se kepala (jenis suka cakap banyak tanpa henti). Riuh-rendah rumah setiap kali anak beranak berkumpul.
Masa makan ada aturannya. Lauk-pauk diasingkan untuk lelaki dan wanita.

Bukan apa, sebab tak muat ruang, jadi kita dahulukan kaum lelaki. Bila lelaki siap, wanita menyusul dan lelaki pula menjaga anak.

Keluarga ramai ni menariknya, boleh membantu adik-adik yang ada masalah kewangan, share barang, seperti bergilir baju, mainan dan kongsi make-up juga. Riuh gurau-senda tatkala berkumpul di hujung minggu, sekali masak penuh lauk dan 2 periuk sekali tanak nasi.

Tabik spring dengan mak ayah susah payah jaga kami dari kecil sehingga hari ni, walau hanya jual sayur dan buah kami adik-beradik tidak pernah berlapar cuma ada kalanya tersasul nama bila memanggil, memang perkara biasa. Kalau raya pula, orang lain penuh dengan tetamu, tapi rumah kami, hari-hari macam hari raya.  - Norhariza Abdullah, 25, Tumpat, Kelantan
 
Pengakuan 5

Air dicencang tidak putus


Dilahirkan dalam keluarga besar adalah sesuatu yang cukup bermakna bagi saya. Saya anak keenam daripada 12 adik-beradik, dan susunannya cukup cantik sekali, diketuai oleh Abang Long (gelaran untuk abang sulung) dan berakhir dengan adik bongsu perempuan yang kini semakin meningkat dewasa.

Kalangan kami semuanya dilahirkan sempurna daripada segi fizikal dan mental. Lima daripada kami bekerja makan gaji manakala dua lagi masih belajar dan selebihnya ada yang bergelar ahli perniagaan, suri rumah dan lain-lain.

Waktu kecil, kami nampak macam sebaya sahaja dan cukup akrab. Abang Long adalah orang yang paling bertanggungjawab dalam segala hal, lebih-lebih soal kewangan dan saat ini pun masih membantu adik-adik dari segi kewangan.

Nama pun adik-beradik, kalau bermasam muka sikit-sikit tu perkara biasa. Dipendekkan cerita, ayah meninggal lapan tahun lalu. Semua kepimpinan dalam keluarga diuruskan Abang Long sambil dibantu Abang Ngah.

Ayah tidak meninggalkan wasiat dan semua harta dibahagi mengikut hukum syarak. Dalam hal ini, keutamaan tentunya berpihak kepada lelaki. Jadi hal ini menimbulkan perasaan tidak puas hati oleh Kak Chik.

Dia menuntut hak mendapatkan sebidang tanah, katanya Allahyarham ayah sudah menyerahkan tanah itu secara lisan kepadanya tanpa sempat menukar nama. Lebih menambah kemarahan dia, Abang Long membuat keputusan untuk menjual sahaja tanah itu.

Urusan jual beli selesai. Memandangkan ahli keluarga ramai, maka agihan yang diterima tidak seberapa. Memandangkan saya juga wanita, saya tidak mahu komen panjang tentang hal ini. Lagipun tidak guna bertengkar kerana air yang dicencang tak akan putus. - Lynn, 35, Selangor




No comments:

Post a Comment