Saturday, November 28, 2009

Aqidah membentuk Anak Soleh


Di dalam al-Quran Allah memerintahkan ketua keluarga agar memelihara dirinya dan juga ahli keluarga (isteri dan anak-anak) dari api neraka. Allah berfirman;

“Wahai orang-orang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari api neraka yang bahan bakarnya terdiri dari manusia dan batu…”. (at-Tahrim: 6)

Dalam menghuraikan maksud memelihara keluarga dari api neraka, Saidina Ali berkata; yakni “kamu didiklah mereka serta ajarlah mereka”. Berkata Imam Qatadah; ‘yakni kamu menyuruh mereka supaya mentaati Allah dan menegah mereka dari memaksiatiNya serta kamu melaksanakan tanggungjawab kamu terhadap mereka dengan agama Allah, kamu memerintahkan mereka dengannya dan membantu mereka untuk melaksanakannya. Apabila kamu melihat mereka melakukan maksiat, tegahlah mereka”. Menurut Imam Muqatil; “Menjadi suatu kewajipan ke atas setiap lelaki muslim untuk mengajar ahli-ahli keluarganya (isteri dan anak-anaknya) apa yang difardhukan Allah ke atas mereka dan apa yang ditegah Allah dari mereka”. (Rujuk: Tafsir Ibu Kathir)

Kelahiran anak-anak yang soleh tidak mungkin terhasil jika tidak bersumber manhaj Islam - iaitu AL-Qur'an dan Sunnah. Manhaj Islam perlu digali dan dijadikan asas didalam kehidupan berkeluarga. Suburkan persekitaran keluarga dengan kesuburan iman dan hindarkan jauh-jauh segala unsur-unsur yang melalaikan, sia-sia serta merosakkan iman dan amal. Bersyukurlah anak-anak yang ibu bapanya begitu perihatin dan tahu apakah yag baik untuk dibawa masuk kerumahnya.

“Wahai orang-orang beriman! Sahut dan sambutlah seruan Allah dan RasulNya apabila Ia menyeru kamu kepada perkara-perkara yang akan menjadikan kamu hidup sempurna”. (al-Anfal: 24)

Umumnya ummat Islam mengetahui adanya tuhan dan menyembah seperti dalam solat, namun ada juga yang tidak mengerti apakah hakikat tuntutan solat sebagai mencegah fashya dan munkar? Bagi memungkinkan keberkesanan dalam didikan Iman dan Islam, pengenalan yang jitu terhadap ALlah adalah suatu yang asas. Sesaorang yang beriman dan bersolat tetapi tidak menolak taghut tidak mempunyai kesempurnaan Iman.

“Dan sesiapa mengingkari taghut dan beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia berpegang dengan simpulan yang teguh, yang tidak akan putus selama-lamanya. Dan Allah maha mendengar lagi maha mengetahui”. (al-Baqarah: 256)

Adapun thagut, maknanya ialah ‘segala yang menyesatkan manusia’ sama ada Iblis, Syaitan dan sebagainya. Menurut Imam Sa’id bin Jubair dan Imam ad-Dhahhak; yang dimaksudkan dengan ‘simpulan yang teguh’ dalam ayat di atas ialah kalimah. Oleh itu anak-anak soleh harus dilahirkan dengan asas utama iaitu menanamkan keimanan yang soheh melalui pengenalan dan penanaman aqidah yang sebenar terhadap Allah Ajjawajalla dan RasulNya..

1 comment: