Sering disebut masalah gejala sosial dihubungkan dengan para remaja seolah-seolah semuanya remaja bermasalah dan golongan lain bebas dari masalah ?! Jika itu pandangan umum, saya bukan dari kalangan mereka. Saya berani mengatakan bahawa ramai dikalangan remaja yang begitu baik dan tidak layak dihubungkaitkan dengan masalah atau gejala sosial. Saya melihat ramai pelajar sekolah diusia remaja yang memiliki sifat yang positif. Baik hatinya, elok akhlaknya, rajin belajar, membenci maksiat dan rajin memperbaiki diri ke arah ketaqwaan dan amal soleh.
Apa yang terjadi kepada para remaja sekolah sebenarnya banyak bergantung kepada faktor luaran. Jika mereka yang dewasa membantu mewujudkan faktor luaran yang baik, Insya ALlah akan ada kumpulan remaja yang menyahut dan melaksanakan aktiviti yang baik.
Saya berpengalaman menghantar anak-anak ketiga buah sekolah; Sekolah Islam Al-Islah di Sungai Petani, Sekolah Tahfiz Al-Islah (STAIL) di Seberang Perai dan Sekolah Islam Hidayah di Johor Bahru. Saya telah terlibat sebagai Pengerusi PIBG di Islah & Hidayah dan menjadi Pengerusi Lembaga di STAIL dan saya begitu kagum dengan para remaja di tiga sekolah tersebut. Baik pelajar lelaki mahupun perempuannya - Mereka ternyata memiliki akhlak yang baik, adab yang sopan, berdisiplin dengan amalan ibadah dan sering menyerlahkan keunggulan yang tidak dimiliki oleh sesetengah golongan orang dewasa.
Pernah ku lihat sendiri suatu hari di bulan Ramadhan apabila saya berusaha ke sekolah sebelum waktu sahur. Sebak di dada bercampur gembira apabila ku dapati suasana sepi di asrama ... tetapi apabila ku hampiri surau sekolah, anak-anak kecil yang berusia remaja sedang khusyu' menunaikan solat tahajjud beramai-ramai.
Solat berjamaah dengan bacaan surah yang panjang, juga suatu yang sering ku lihat di sekolah-sekolah yang saya sebut di atas. Rasa kehangatan hormat mereka terhadap mereka yang lebih tua sering terpancar apabila kita berjalan di tengah-tengah mereka ... dengan sapa dan salam yang hormat dan bahasa yang lembut.
Bagaimana mereka dapat memiliki akhlak dan ibadah yang mantap seumpama itu? Tentunya disebabkan oleh usaha yang di lakukan oleh mereka yang dewasa yang mengurus sekolah. Anak remaja adalah seumpama kain putih. Jika kita berusaha memberikan contoh tauladan, mewujudkan beah (persekitaran) yang baik, memberikan dorongan yang positif dan mendidik mereka dengan iman dan Islam berlandaskan fikrah Islamiah yang sempurna, Insya ALlah akan lahir generasi remaja yang baik akhlaknya dan elok ibadahnya. Merekalah yang akan menjadi ejen kepada perubahan positif ke arah kebaikkan, kegemilangan dan kesejahteraan dalam masyarakat.
No comments:
Post a Comment